Menjadi fenomena Misha

Misha mula menyinar apabila memenangi anugerah Artis Baru Pilihan di Anugerah Era 2003 menewaskan saingan seperti Sarah, Ezlynn dan Waheeda. Pada bulan Oktober 2003, Misha dipertandingkan di Festival Muzik Asia Shanghai yang mengiktiraf nyanyian artis baru seluruh Asia. Tuah berpihak kepada beliau apabila meraih anugerah Piala Emas dan juga Persembahan Vokal Terbaik menerusi dua buah lagu iaitu BBC dan Lilitan Asmara. Misha berjaya menewaskan nama-nama popular seperti The Honeys (China).

Berturut daripada kejayaan itu, Misha disenaraikan ke Anugerah Juara Lagu ke 18 juga menerusi lagu BBC. Pelbagai pihak telah meramalkan penguasaan Misha dan akhirnya beliau berjaya membawa pulang trofi juara keseluruhan AJL beserta anugerah Vokal Terbaik menewaskan penyanyi yang jauh lebih senior seperti Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Mus dari kumpulan May, Ning Baizura dan Yassin Sulaiman.

Kejayaan besar di Shanghai dan Anugerah Juara lagu berjaya menaikkan jualan album itu kepada 35,000 Unit dan mendapat Anugerah Cakera Platinum. Ia adalah suatu pencapaian yang hebat memandangkan kehadiran cetak rompak yang berleluasa menjadikan kebanyakkan artis hanya sekadar terjual 15,000 unit satu album tetapi Misha berjaya mencatat jualan album melebihi 30,000 unit. Album pertamanya itu berjaya melonjak ke tangga pertama Carta RIM pada minggu pertama 8 Januari 2004. Secara keseluruhan album ini terjual sebanyak 60,000 unit.